Kementerian atasi kemelut tol

KUALA LUMPUR: Orang ramai tidak lama lagi dapat membuat pembayaran tol lebuh raya menggunakan penyedia bayaran digital yang ada, bukan hanya Touch ’n Go.

Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, kad Touch ‘n Go untuk pembayaran tol akan ditamatkan pada 2025 dan laluan Smart Tag akan dimansuhkan secara berperingkat.

“Orang ramai boleh mengunakan mana-mana mod digital sama ada e-wallet Touch ‘n Go atau kad debit, kad kredit, Visa, Mastercard atau mana-mana sistem pembayaran (elektronik) selagi tersedia di lebuh raya,” katanya sambil menambah hanya satu tag RFID sahaja diperlukan untuk tujuan itu.

Memetik Free Malaysia Today, Fadillah berkata bagaimanapun ia bergantung kepada kadar penembusan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang memuaskan dan kesediaan syarikat konsesi lebuh raya menghubungkan penyedia tambahan bayaran dalam talian.

Dianggarkan terdapat lebih 20 juta kad Touch ‘n Go dalam edaran yang mewakili hampir 91% transaksi di 31 lebuh raya di seluruh negara.

Menteri itu juga berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berusaha untuk memudahkan orang ramai menerima kaedah pembayaran secara dalam talian.

Beliau juga berkata, syarikat konsesi terbabit telah diarahkan untuk bersedia melaksanakan Sistem Aliran Bebas Pelbagai Lorong (MLFF) menjelang 2025.

MLFF adalah sistem tol tanpa penghalang, pondok tol dan laluan khusus. Ia menggunakan struktur gantri yang dilengkapi dengan pengecaman nombor plat secara automatik (ANPR) di lokasi tertentu.

Fadillah berkata, sistem MLFF adalah faktor utama dalam pelan Sistem Pengangkutan Pintar (ITS) untuk rangkaian lebuh raya masa hadapan.

Sebelum ini, kementerian menerima permintaan orang ramai untuk membuka lebih banyak pembayaran dalam talian.

“Peringkat perintis ANPR sedang dijalankan di Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS)."

"Kementerian sedang mengkaji cadangan untuk perkongsian awam-swasta atau PFI, tertakluk kepada perbincangan lanjut dengan syarikat konsesi LEKAS dan satu lagi projek perintis di Lebuhraya Besraya tidak lama lagi,” katanya.

Katanya, syarikat konsesi lebuh raya telah diberitahu untuk bersedia bagi pelaksanaan MLFF.

“Sekiranya berlaku kelewatan oleh beberapa syarikat konsesi lebuh raya, kementerian mungkin mempertimbangkan model pelaburan swasta atau inisiatif kewangan swasta untuk mengambil alih sistem MLFF.”

“Model pelaburan swasta adalah untuk sistem terbuka. Seperti yang anda lihat, terdapat banyak lebuh raya di negara ini dan semua sistem perlu disepadukan,” katanya.

Beliau mengambil contoh perlaksanaan sistem itu di  Singapura dan Taiwan yang dikawal pihak berkuasa tunggal.

Mengakui pelaksanaan RFID mengalami kelewatan beberapa tahun daripada jadual sepatutnya, Fadillah menegaskan terdapat beberapa elemen yang perlu dimuktamadkan oleh LLM sebelum melancarkan MLFF secara besar-besaran.

“Kita perlu melihat aspek peraturan, prosedur penguatkuasaan, pembangunan prasarana, kadar penembusan RFID dan pelan komunikasi untuk pelaksanaan MLFF,” tambahnya.
Next Post Previous Post