Keberanian warga emas selamatkan rumah panjang dari musnah terbakar
SPAOH: Demi menyelamatkan Rumah Panjang (Rh) Budol, Seruai dekat sini dari musnah terbakar, seorang warga emas memberanikan dirinya dengan bertindak memadamkan api dalam kebakaran yang berlaku sekitar tengah hari tadi.
Kebakaran yang berpunca daripada wayar sambungan mudah alih yang diletakkan berdekatan dengan bahan mudah terbakar seperti kain dan tilam itu berjaya dipadamkan warga emas terbabit serta dibantu penduduk rumah panjang berkenaan.
Warga emas terbabit dikenali sebagai Michal Jone Simion@Simeon, 65, dikatakan melihat api yang menjilat tilam dalam bilik ditingkat atas sebelum berusaha untuk memadam api yang mula merebak sehingga ke siling rumahnya.
Tanpa berfikir panjang, warga emas tersebut mengambil alat pemadam api jenis debu kering dan terus melakukan pemadaman.
Penghuni lain yang menyedari kejadian tersebut turut membantu sehingga berjaya menyelamatkan rumah panjang mereka daripada musnah terbakar.
Sementara itu, sepasukan lapan anggota Bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Betong yang dihubungi bergegas ke lokasi yang diketuai PBK II Sapuan Abu.
Menurut Komander Operasi, setibanya pasukan bomba di tempat kejadian mendapati berlaku kebakaran di ruang bilik bahagian atas rumah nombor 23.
Jelasnya, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca dari wayar sambungan mudah alih yang digunakan dan diletak berhampiran dengan bahan mudah terbakar seperti kain dan tilam sehingga berlakunya kebakaran.
"Kebakaran yang mula dikesan dari tilam seterusnya terus merebak ke bahagian siling rumah.
"Walau bagaimanapun api telah berjaya dipadam oleh pemilik rumah dengan bantuan penduduk rumah panjang.
"Mereka menggunakan media pemadaman iaitu empat unit alat pemadam api sehingga berjaya dipadam sebelum pihak bomba tiba," katanya.
Tambahnya, bomba tidak menjalankan operasi pemadaman dan hanya membuat pemeriksaan di sekeliling bilik tersebut untuk memastikan kebakaran telah benar padam sepenuhnya dan mengambil maklumat berkaitan.