Kastam Sarawak tumpaskan dua sindiket dadah
KUCHING — Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak berjaya menumpaskan dua sindiket penyeludupan dadah serta merampas dadah jenis Methamphetamine dan Ketamin bernilai RM98,900 selepas menahan dua lelaki dalam seribuan berasingan di Kuching dan Miri, Januari tahun ini.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Mohd Nadzri Ariffin berkata, dalam serbuan pertama pada 10 Januari sekitar jam 2.15 petang, seorang lelaki tempatan ditahan di luar premis terminal bas Biaramas, Kuching.
Katanya, suspek berusia lingkungan 30-an hadir di lokasi kejadian untuk menuntut bungkusan dan siasatan awal mendapati ia dihantar dari Miri menggunakan
perkhidmatan bas ekspres antara bandar.
Beliau berkata, lelaki tersebut juga disyaki sudah beberapa kali membuat tuntutan bungkusan melalui perkhidmatan bas antara bandar.
“Pemeriksaan rapi telah menjumpai sebanyak 358 paket lutsinar mengandungi serbuk kristal dipercayai dadah jenis Methamphetamine. Barangan tersebut juga dipercayai adalah untuk pasaran sekitar bandaraya Kuching dan Samarahan.” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Berat kasar kesemua serbuk kristal tersebut adalah lebih kurang 1,115 gram dan dianggarkan bernilai RM47,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM540 dan jsebuah kenderaan jenis Toyota Yaris yang dianggarkan bernilai RM70,000.
Mohd Nazri menambah, keseluruhan nilai rampasan dari serbuan pertama ialah RM117,500.00
“Modus operandi adalah menggunakan perkhidmatan kargo bas antara bandar untuk mengedar dadah masuk ke bandaraya Kuching. Dadah dibungkus menggunakan paket berkuantiti kecil dipercayai untuk memudahkan bekalan disalurkan kepada pembeli,” katanya.
Manakala di Miri, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Miri telah menahan seorang lelaki tempatan di sebuah premis syarikat kurier di Permy Technology Park sekitar jam 11.17 pagi pada 24 Januari.
Katanya, lelaki berumur dalam lingkungan 44 tahun tersebut telah hadir di lokasi kejadian dan menuntut sebuah bungkusan disyaki mengandungi dadah yang dikirim dari luar negara.
“Pemeriksaan rapi ke atas bungkusan menjumpai satu bungkus plastik lutsinar yang mengandungi dadah jenis Ketamin dianggarkan seberat 1,000 gram. Turut dijumpai sepaket serbuk minuman jenama ‘Juice Master’ di dalam beg sandang individu tersebut dan ujian dipercayai dadah jenis ketamin seberat 28 gram.”
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan adalah dianggarkan bernilai RM51,400,” kata beliau.
Modus operandi adalah menggunakan nama nama syarikat yang tidak aktif dan alamat yang tidak wujud untuk mengelak dikesan oleh pihak berkuasa serta menggunakan perkhidmatan kurier untuk mengedar dadah masuk ke bandaraya Miri.
Orang awam juga dipercayai digunakan sebagai keldai dadah untuk mendapatkan bungkusan yang dihantar melalui perkhidmatan kurier.
Mohd Nazri berkata, kedua-dua suspek disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, iaitu kesalahan mengedar dadah berbahaya di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh dihukum gantung sampai mati di bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama.
Sehubungan dengan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.
Orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat.