Kanak-kanak divaksin mulai 3 Februari

PUTRAJAYA— Kira-kira empat juta kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun akan menerima vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kanak-kanak (PICKids) mulai 3 Februari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata kanak-kanak yang layak akan menerima vaksin jenis Comirnaty10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech).

Beliau berkata, sebagai permulaan pemberian vaksin akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan.

"Pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan pula di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi seterusnya diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau berkata, setakat ini seramai 484,639 kanak-kanak sudah mendaftar di aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan vaksinasi.

Ibu bapa atau penjaga boleh membuat tempahan janji temu melalui aplikasi tersebut untuk memudahkan mereka membuat tempahan janji temu.

Beliau menambah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) turut bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi COVID-19.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata penghantaran pertama akan tiba pada 28 Januari 2022 dari Belgium dan vaksin ini akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara.
Next Post Previous Post