JPBNS setuju tambah kekerapan penerbangan dari 307 ke 562 seminggu


KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) bersetuju untuk menambah kekerapan penerbangan
dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke Sarawak dari 307 penerbangan seminggu ke 562 seminggu bermula pada 14 Januari ini.

JPBNS menerusi kenyataan media hari ini berkata, ia adalah keputusan jawatankuasa itu bersempena sambutan Hari Tahun Baharu Cina.

"JPBNS pada 12 Januari 2022 telah bersetuju untuk menambah kekerapan penerbangan dari Semenanjung Malaysia dan Sabah ke Sarawak dari 307 penerbangan seminggu ke 562 seminggu bermula pada 14 Januari 2022.

"Jumlah kekerapan penerbangan ini boleh didapati di laman sesawang Kementerian Pengangkutan Sarawak di
https://mot.sarawak.gov.my," katanya.

Selain itu, JPBNS turut memutuskan Garis Panduan (SOP) bagi sambutan Tahun Baru Cina yang disediakan oleh Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) telah diluluskan.

Jelasnya, SOP tersebut boleh didapati di laman sesawang
https://sarawakdisastermc.com.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan Sarawak Datuk Seri Lee Kim Shin menerusi laporan Utusan Borneo dipetik berkata, syarikat penerbangan perlu mengemukakan permohonan untuk penerbangan tambahan ke Sarawak memandangkan permintaan tinggi berikutan sambutan Tahun Baharu Cina bulan depan.

Jelasnya permohonan itu boleh dibuat kepada JPBNS untuk pertimbangan.

Mengenai perkembangan harian COVID-19 di Sarawak, JPBNS memaklumkan sebanyak 18 kes baharu dilaporkan hari ini iaitu 12 kes kategori 2 (Gejala Ringan), tiga kes kategori 1 (Tiada Gejala), dua kes kategori 4 (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Oksigen) dan satu kes kategori 5 (Jangkitan Paru-paru dan Memerlukan Ventilator).
Next Post Previous Post