Jauh merantau dari Kuching turun ke Samarahan untuk mencuri kabel
KOTA SAMARAHAN: Pemuda yang berasal dari Kampung Pulo, Kuching sanggup datang ke Kota Samarahan hanya kerana untuk mencuri kabel wayar di bangunan kosong di sini sebelum dicekup sepasukan polis peronda pada pagi Jumaat.
Suspek berusia 21 tahun itu ditangkap sekitar jam 8.30 pagi oleh anggota dari Unit Kereta Peronda (MPV), Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan kerana dipercayai mencuri kabel wayar di sebuah bangunan kosong di Pusat Komersial Intan, Kota Samarahan.
"Pasukan yang diketuai Sarjan Jamaludin ketika menjalankan rondaan cegah jenayah bersama Koperal Delon selepas menerima maklumat daripada orang awam yang memberitahu ada seorang lelaki telah terkurung di bangunan tersebut," kata IPD Kota Samarahan menerusi Facebook rasmi hari ini.
Turut dijumpai bersama suspek, empat gulung wayar yang dicuri di bangunan tersebut beserta alat pemotong wayar yang digunakan.
Selain itu, polis turut merampas sebuah motosikal yang digunakan oleh suspek untuk ke lokasi kejadian.
Suspek ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut.
Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.