Jangan pelihara ayam di kawasan perumahan


SIBU— Penduduk di kawasan perumahan Sibujaya, Kemuyang dan Bougainvilla diberi notis 14 hari untuk meroboh reban dan sangkar ayam yang dibina secara haram.


Notis itu dikeluarkan oleh Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) kepada tujuh penduduk dalam satu operasi semalam.


Pengerusi MDLBS Sempurai Petrus Ngelai, menternak lebih lima ekor ayam di belakang rumah tanpa kebenaran majlis adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 28 (4) (a) Undang-undang Kebersihan.


“Sesiapa yang didapati menternak ayam di hadapan dan di belakang rumah boleh dikenakan kompaun mengikut undang-undang kebersihan di bawah Ordinan Pihak Berkuasa Tempatan.“


“Majlis mengeluarkan notis 14 hari untuk mereka meroboh reban dan sangkar ayam yang dibina di rizab jalan bertentangan dan di halaman rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan susulan operasi itu.


Sebanyak tiga pasukan terdiri lebih 20 anggota termasuk polis, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) serta Pejabat Veterinar Sibu, memeriksa reban dan sangkar ayam yang dibina secara haram oleh penduduk di kawasan perumahan Sibujaya, Kemuyang, dan Bougainvilla.


Katanya, penduduk mesti mendapatkan kebenaran MDLBS  untuk menternak sementara tidak lebih daripada lima ekor untuk kegunaan sendiri terutamanya ketika ibu dalam pantang dan perayaan.


Tegas beliau, MDLBS banyak menerima aduan iaitu bau busuk dan lalat berpunca daripada reban tersebut.


“Malah saya dan timbalan Wong Ching Yong berulang kali mengingatkan pemilik ayam untuk meroboh  reban tersebut sebelum dimbil tindakan,”katanya.


Katanya, MDLBS banyak menerima banyak aduan daripada penduduk mengenai isu gangguan bau busuk dan lalat, yang berpunca daripada penternakan di belakang rumah ini.

Next Post Previous Post