Jaja nama anak Ketua Menteri, wanita dihukum penjara

KUCHING: Mahkamah Majistret hari ini menjatuhkan hukuman penjara satu tahun lapan bulan ke atas seorang wanita yang didapati bersalah menipu menggunakan nama anak Ketua Menteri Sarawak untuk mendapatkan pas percuma untuk menonton Rainforest World Music Festival (RWMF) 2019.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman itu kepada Safferina Talib, 36, berkuatkuasa hari ini, seperti yang dilaporkan Utusan Borneo hari ini.

Sementara itu, peguam Jonathan Jalin yang mewakili tertuduh memohon agar diberikan penangguhan pelaksanaan hukuman.

Majistret Syarifah membenarkan permohonan tersebut dan memberikan tertuduh jaminan tunai RM5,000 beserta seorang penjamin tempatan, selain memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke balai polis berdekatan sebulan sekali.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan dua saksi pihak pembelaan dilaporkan dipanggil untuk memberikan keterangan dalam kes yang dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.

Wanita itu didakwa menipu pengurus seorang penyelia di kaunter tiket bagi festival berkenaan di pintu masuk Kampung Budaya Sarawak ketika RWMF 2019 pada 12 Julai 2019.

Tertuduh menipu dengan mengatakan dia mewakili Dayang Norjihan Abang Abdul Rahman Zohari, anak Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan ditugaskan untuk mengambil 20 pas masuk tiket dalam bentuk gelang tangan daripada penganjur secara percuma.

Menurut fakta kes, seorang pengadu iaitu penyelia lelaki di kaunter tiket didatangi seorang wanita (tertuduh) yang memperkenalkan dirinya sebagai sepupu kepada Dayang Norjihan pada 13 Julai 2019 jam lebih kurang 9.30 pagi di pintu masuk Kampung Budaya Sarawak, dengan tujuan untuk mendapatkan gelang tiket kemasukan ke RMWF 2019.

Pengadu seterusnya cuba meminta pengenalan tertuduh tetapi tertuduh melarikan diri.

Selepas membuat semakan, pengadu mendapati sejumlah 20 keping gelang tiket telah diserahkan oleh seorang penyelia di kaunter tiket kepada tertuduh secara percuma pada hari sebelumnya (12 Julai 2019).

Laporan polis seterusnya dibuat dan hasil siasatan mendapati Dayang Norjihan tidak mengenali tertuduh serta tidak pernah mengarahkan tertuduh untuk mengambil gelang tiket kemasukan ke RWMF 2019 bagi pihak beliau.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Next Post Previous Post