Ingkar bayar letrik, polis temui dadah RM111.2 juta


IPOH: Tindakan sekumpulan penjenayah yang enggan membayar tunggakan bil elektrik kilang yang disewa mereka membawa padah apabila aktiviti kumpulan terbabit yang menjadikan kilang berkenaan sebagai makmal memproses dadah terbongkar. 


Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata dalam serbuan di sebuah kilang di kawasan perindustrian di Pusing, dekat Batu Gajah yang dilakukan pihaknya bersama JSJN Perak bermula 1.30 tengah hari Khamis lepas hingga 5.45 pagi Jumaat berjaya merampas dua tan dadah jenis ketamin bernilai RM 111.2 juta.


"Polis dimaklumkan mengenai kegiatan kumpulan ini selepas pemilik kilang membuat laporan polis untuk mengadu keengganan sindiket membayar bil elektrik mereka," katanya dipetik menerusi laporan Malay Mail hari ini.

Beliau pada sidang media di Perkarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak berkata sindiket enggan membayar bil selama berbulan-bulan, menyebabkan pemiliknya pergi ke polis dan selepas siasatan, polis mendapati mereka adalah kumpulan penjenayah yang menggunakan kilang terbiar sebagai makmal mereka.


“Dengan keadaan COVID-19, banyak kilang terpaksa ditutup. Oleh itu, kami ingin memberitahu kepada semua pemilik tanah bahawa jika anda merasakan orang yang menyewa ruang kilang anda melakukan sesuatu yang mencurigakan, sila maklumkan kepada kami,” tegasnya lagi.

Mengulas lanjut kes itu, Ayob Khan berkata, dalam serbuan tersebut, polis menahan tiga lelaki berusia lingkungan 28 hingga 40 tahun yang dipercayai terlibat dengan sindiket memproses dan mengedar ketamin bagi pasaran tempatan. 


Beliau berkata selain ketamin itu, pihaknya turut merampas sejumlah bahan kimia dan peralatan yang dipercayai digunakan untuk memproses dadah.

Katanya jumlah dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 6.7 juta penagih dan siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai mula aktif sejak pertengahan tahun lepas.


Dedah beliau lagi, modus operandi sindiket ini ialah menjadikan kilang di kawasan perindustrian sebagai makmal untuk memproses dadah bagi mengaburi pihak berkuasa. 

Ayob Khan berkata pihaknya turut menyita pelbagai aset sindiket yang dianggarkan bernilai kira-kira RM201,307.50 membabitkan enam kenderaan, barangan kemas dan wang tunai.


Selain itu, beliau memberitahu saringan awal air kencing mendapati dua daripada lelaki tersebut positif ketamin selain mempunyai pelbagai rekod jenayah dan dadah.

"Kesemua mereka direman hingga esok bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Polis sedang mengesan tiga lagi lelaki yang disyaki terlibat dalam sindiket tersebut iaitu Azrul Safuan Mohd Puaad, 28, Mohamad Qaiyyum Mohamad Azhar, 23, serta S.Patmanathan, 44," jelasnya. 


Katanya, siasatan awal mendapati mereka memainkan pelbagai peranan antaranya tukang masak yang dilatih, penyewa premis dan ejen sindiket.

Sehubungan itu, tegasnya orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kesemua lelaki itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis.
Next Post Previous Post