Hamzah rapatkan jurang perkauman, SUPP Stakan

KUCHING — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan yang baharu, Hamzah Ibrahim bukan hanya kuat bekerja malah seorang wakil rakyat yang menepati janji.
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Stakan berkata, kepimpinan dan komitmen yang ditunjukkan oleh beliau begitu jelas sejak dipilih sebagai calon dan waktu berkempen dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 bulan lalu.
“SUPP Stakan telah bekerjasama dengan beliau sepanjang waktu berkempen. Kami terkejut kerana beliau terus aktif turun padang selepas memenangi pilihan raya.”

“Semasa kempen, beliau berjanji untuk merapatkan jurang antara komuniti Cina dengan kerajaan pemerintah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada 22 Januari lalu, Hamzah melawat dan mengagihkan limau dan angpau kepada komuniti Cina di Kampung Jernang, Kampung Cina Stakan, Batu 10 dan Batu 9 sempena perayaan Tahun Baru Cina.

Parti itu turut gembira dengan langkah proaktif beliau dalam mengatasi masalah lampu trafik di Jalan Dato Musa yang sebelum ini tidak berfungsi.

 “Kami berpuas hati dengan wakil rakyat yang baharu dan senada dengan visi dan aspirasi Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu Stakan terus pesat membangun.”

Untuk rekod, Hamzah telah berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Cawangan PBB Muara Tuang sejak tahun 2016 selain Setiausaha Politik Kepada Menteri Kanan Kerja Raya.

Beliau menggantikan penyandang kerusi DUN Stakan, Datuk Seri Mohamad Ali Mahmud mengambil keputusan untuk tidak mempertahankan kerusinya pada PRN12.

Parti itu memberi jaminan akan terus bekerjasama dengan pasukan wakil rakyat yang baru bagi mengukuhkan hubungan bukan bumiputera dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
 
Katanya, ini penting agar GPS terus diberi mandat besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan memperolehi kuasa lebih besar di peringkat persekutuan.
 
“Kami berterima kasih kepada YB Hamzah kerana tidak lupa janji. Kami di SUPP Stakan mengucapkan selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada komuniti Cina di Stakan dan Sarawak.”
 
 
Next Post Previous Post