Graduan UNIMAS tempa nama sebagai influencer


Dua influencer tempatan, Shirley dan Nomi bekas penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berkongsi liku-liku yang dilalui sebelum berjaya menjadi influencer media sosial.

Perkongsian itu dimuat naik di Facebook rasmi mereka, Shirley&Nomi pada 9 Jan dan mendapat lebih 28,000 likes dan dikongsi lebih 1,000 netizen.

Menurut mereka, pengalaman empat tahun selepas bergraduan pada 2018 banyak mengajar realiti kehidupan.

“Di fikiran masyarakat, pemegang diploma, ijazah dan ijazah kedoktoran atau PhD akan terus mendapat pekerjaan dan bergaji besar, sebagai contoh di sektor kerajaan.”

“Bagi mereka, sijil ini satu tiket untuk menjadi pengarah dan bermacam jawatan besar. Masyarakat hari ini mengagung-agungkan sijil tersebut, sedangkan realitinya ia tidak semudah yang disangka,” tulis mereka.

"Tiada salah memiliki sijil ijazah, PhD atau diploma, yang penting 'mindset' asal ada sijil boleh dapat jawatan dan gaji besar perlu diubah," kata mereka.

Semasa di UNIMAS, kedua-duanya mengambil jurusan Pengurusan Seni selama tiga tahun. Selepas tamat pengajian, Shirley dan Nomi pernah memohon bermacam jenis pekerjaan namun gagal mendapat pekerjaan.

“Secara jujur, sijil ijazah kami itu tidak berguna dan terperap berdebu dalam stor. Bukan maksud kami belajar tinggi-tinggi tidak berguna kerana bagi sesetengah orang ia penting.”

“Realitinya, semakin ramai graduan kini bekerja di luar bidang kursus yang dipelajari di universiti atau kelulusan yang diperolehi,” kata mereka.

Selepas gagal mendapat pekerjaan di sektor kerajaan dan swasta, mereka menggunakan sepenuhnya ilmu yang dipelajari di UNIMAS untuk membina kerjaya sebagai influencer.

Hasil usaha tidak mengenal penat lelah, kedua-duanya berjaya menubuhkan syarikat sendiri, Nosh Mereaki Sendrian Berhad. 

Bukan itu sahaja, akaun media sosial mereka di Facebook mempunyai lebih 88,089 pengikut manakala Instagram 64,000 manakala Tik Tok lebih 200,000 pengikut.

“Dengan ilmu dan pengalaman yang ada, kami mencari jalan untuk mewujudkan peluang untuk bekerja sendiri. Pelbagai rintangan dihadapi dalam tempoh empat tahun, namun kami sedia belajar untuk menambah pengetahuan.”

“Syukur kepada Tuhan kerana impian selama ini sudah tercapai. Kami akan terus menambah ilmu dan pengalaman,” kata mereka.

Mereka menambah, usaha mencari ilmu tidak semestinya harus memiliki ijazah. Malah individu yang gagal peperiksaan SPM boleh menimba ilmu di Google, menyertai bengkel atau kelas yang berbayar.

“Apa yang penting, jangan malas menambah ilmu dan pengalaman. Kami percaya setiap orang ada cara tersendiri untuk menimba ilmu. Ini nasihat kami kepada generasi baru.”

Shirley dan Nomi turut mengucapkan tahniah kepada lulusan universiti yang baru berkonvokesyen dan berharap mereka cekal menghadapi dunia pekerjaan di luar.

end/s
Next Post Previous Post