Empat warganegara Indonesia dan seorang tekong tempatan ditahan
Pengarah Zon Maritim Miri, Komander Maritim Eizanizam Muhammad Eng berkata, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) di perairan Miri pada jarak lebih kurang 10.8 batu nautika dari barat daya Tanjung Lobang semalam.
Katanya, aaset Maritim Malaysia KM Stapa berjaya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan dipercayai sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan sekitar jam 3.00 petang ketika melaksanakan OP Permai di perairan Miri.
"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan yang dikendalikan oleh seorang tekong lelaki tempatan bersama empat lelaki kru warga Indonesia berusia dalam lingkungan 26 hingga 62 tahun itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Eizanizam, kesemua kru termasuk tekong telah ditahan kerana disyaki telah menceroboh kawasan taman laut dengan melakukan aktiviti menangkap ikan di Sibuti Coral Reef National Park, Miri dibawah Ordinan Taman Negara dan Rezab Semula Jadi 1998.
Mengulas lanjut katanya, bot, peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan yang dianggarkan lebih kurang 500 kilogram ditahan dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel (PTV), Zon Maritim Miri untuk diserahkan kepada Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) bagi siasatan lanjut.
Kes tersebut katanya, akan disiasat di bawah Ordinan Taman Laut dan Rezab Semula Jadi 1998 dan jika disabit kesalahan boleh didenda sehingga RM 5 ribu, dan penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.
"Maritim Malaysia akan terus bekerjasama dengan pelbagai agensi lain dalam usaha menguatkuasakan undang-undang di perairan negara bagi menjamin kelestarian komuniti maritim setempat," katanya.