Empat beranak maut dirempuh pemandu lalok langgar api merah
KUANTAN – Seorang ibu bersama tiga anaknya maut dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Lebu ke Mempaga dekat sini hari ini.
Mangsa yang maut dikenali Raihan Mohamad, 43, bersama tiga anaknya, Ahda Dalilil Mohd Nazri, 14, Ahmad Muadz, 7 dan Ahda Imtinan berusia empat tahun.
Bapa mereka, Mohd Nazri pula cedera dan kini dirawat di hospital.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh berkata, keempat-empat beranak itu cedera parah sebelum maut dalam kejadian pukul 3.10 petang.
Beliau berkata, semasa kemalangan mangsa dari Gua Musang dalam perjalanan menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur.
"Apabila sampai di tempat kejadian, kereta membelok masuk ke simpang kanan selepas lampu isyarat hijau."
"Bagaimanapun, Navara yang datang dari arah hadapan dipercayai tidak berhenti semasa lampu isyarat merah di lorong kiri lalu merempuh Toyota Vellfire dinaiki lima sekeluarga," katanya.
Beliau berkata, rempuhan itu menyebabkan Vellfire berpusing dan melanggar besi pembahagi.
"Dipercayai pemandunya di bawah pengaruh dadah selepas melanggar lampu isyarat," katanya lagi.
Tambah Kamarul, ujian awal air kencing di Hospital Bentong mendapati pemandu Navara positif dadah jenis Opiate Amphetamine dan Methaphemine.
Sementara itu pemandu Toyota Vellfire dan Navara mengalami kecederaan dan masih menerima rawatan di Hospital Temerloh.
Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Sekyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.