Dua tokan berdepan hukuman mati


KUCHING: Dua lelaki berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan selepas memiliki dadah jenis syabu dan eramin dalam satu serbuan ke atas sebuah kondominium di Batu Kawah, petang semalam.

Serbuan sekitar jam 2.10 petang semalam adalah hasil hasil maklumat awam dan risikan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan.
Ketua Polis Daerah Padawan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek pertama berusia 51 tahun ditahan dihadapan lobi kondominium

“Dengan dipandu arah oleh suspek, pasukan serbuan telah masuk ke dalam rumah menahan seorang lagi lelaki berusia 41 tahun.”
 Pemeriksaan lanjut dalam bilik  telah menjumpai tiga paket plastik lutsinar besar, lapan peket plastik kecil di dalamnya mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu seberat 104.0 gram yang disimpan dalam beg hitam, kad vaksin suspek dan 20 biji pil eramin dianggarkan seberat 5.40 gram yang dibungkus dalam kerajang timah.”

Tambahnya, rampasan dadah jenis syabu dianggarkan nilai semasa RM10,400 manakala eramin RM10,800.
Kedua-dua suspek ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.

“Saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine. Oleh itu kedua-duanya turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.”

Hasil siasatan suspek kedua mengakui dadah yang dirampas adalah miliknya dan mengaku terlibat dengan aktiviti dadah sejak awal tahun 2000.

Suspek turut mengaku memperolehi bekalan dari Kuching melalui seorang lelaki Cina dengan panggilan ‘Tan’ dan mendedahkan bekalan itu dihantar ke Miri dan Batu Niah.

Menurut suspek, dia tidak mengenali rupa paras Tan dan hanya berurusan melalui aplikasi Whatsapp.

Setakat ini pihak polis masih mengenalpasti dan mengesan ‘Tan’.

Kedua-dua suspek kini ditahan di lokap Balai polis Siburan dan tahanan reman akan dibuat hari ini.
Next Post Previous Post