Diskaun elektrik dan air diteruskan di bawah BKSS 8.0

KUCHING: Inisiatif pemberian diskaun bil elektrik dan air bulanan kepada pengguna domestik, komersial dan industri di Sarawak diteruskan untuk tempoh enam bulan Januari hingga Jun 2022. 

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia antara tujuh langkah di bawah Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang 8.0 (BKSS 8.0) dengan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM285.47 juta bagi membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19. 

"Kerajaan Sarawak akan meneruskan inisiatif pemberian diskaun 5 peratus sehingga 25 peratus ke atas bil elektrik bulanan kepada pengguna Domestik, Komersil dan Industri mulai bulan Januari hingga Jun 2022.

"Diskaun ini akan memberi manfaat kepada 647,000 isirumah, pengguna komersil dan industri di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan diskaun bil elektrik ini berjumlah RM166.8 juta akan dibiayai oleh Kerajaan Sarawak," katanya pada sidang media pengumuman Pakej BKSS 8.0 di Wisma Bapa Malaysia di sini hari ini. 

Kata Abang Johari lagi, diskaun bil air pula melibatkan diskaun 10 peratus hingga 25 peratus yang akan diberikan kepada pengguna domestik, komersil dan industri untuk tempoh enam bulan mulai Januari hingga Jun 2022. 

"Diskaun ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 647,000 isi rumah di seluruh Sarawak dengan keseluruhan kos berjumlah RM24 juta dibiayai Kerajaan Sarawak," tambahnya.

Menurut beliau, selain diskaun bil elektrik dan air, Kerajaan Sarawak di bawah pakej BKSS 8.0 juga meneruskan diskaun 50 peratus sewa Skim Perumahan Perbadanan Perumahan Sarawak (HDC) bagi bulan Januari hingga Jun 2022. 

"Langkah ini akan memberi manfaat kepada lebih daripada 3,200 penyewa skim perumahan HDC di seluruh Sarawak dengan kos keseluruhan diskaun ini dianggarkan melebihi RM2.6 juta.  

Bagi membantu pengusaha kecil dan sederhana (PKS), katanya Kerajaan Sarawak juga meneruskan pengecualian bayaran sewa kepada PKD yang beroperasi di premis perniagaa milik badan-badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC). 

"Pengecualian ini adalah untuk tempoh enam bulan mulai Januari hingga Jun tahun ini melibatkan kos sebanyak RM2.0 juta," ujarnya. 

Mengenai penjaja dan peniaga kecil yang berdaftar di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), beliau memberitahu, mereka akan diberikan diskaun 50 peratus sewa pasar dan gerai untuk tempoh enam bulan mulai Januari hingga Jun 2022. 

"Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 10,165 penjaja yang berdaftar yang menyewa pasar dan gerai di bawah PBT dengan keseluruhan diskaun berjumlah RM1.7 juta," katanya lagi.

Sidang media itu turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Dato Sri Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Setiausaha Kewangan Negeri Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Sarawak Lester Matthew. 


Next Post Previous Post