Demo tangkap Azam Baki

KUALA LUMPUR: Laungan “Hidup Rakyat! Tangkap Azam Baki!” bergema di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar semasa perhimpunan #tangkapAzambaki di sini pagi Sabtu.

Lebih 100 penunjuk perasaan yang diketuai aktivis, Adam Adli Abdul Halim itu mula berkumpul di LRT Bangsar ditepi Menara UOA kira-kira jam 11 pagi.

Mereka yang berpakaian serba hitam membawa sepanduk bertulis “lawan” dan “lawan korupsi” selain gambar Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.  


Perhimpunan tersebut turut dikawal pihak polis yang mengingatkan peserta himpunan supaya menjaga jarak sosial.

Himpunan #TangkapAzamBaki pada asalnya dirancang diadakan di tiga lokasi, iaitu Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek pada 11 pagi hari ini, namun susulan penutupan enam laluan ke ibu kota, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki menukar lokasi himpunan ke bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar.
 
Himpunan itu,yang disokong 33 NGO dan 11 buah organisasi politik akan dijalankan secara aman dengan menepati SOP.

Selepas lebih sejam berkumpul, peserta himpunan #TangkapAzamBaki berarak dari stesen LRT Bangsar akhirnya bersurai secara aman kira-kira 12.40 tengah hari.

Menurut polis, perhimpunan itu tidak dapat dibenarkan kerana Kuala Lumpur masih di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional.
Next Post Previous Post