Demo tangkap Azam Baki diteruskan, Adam Adli
Selepas disiasat polis, aktivis Adam Adli hari ini mengumumkan perhimpunan #tangkapAzambaki yang dijadualkan berlangsung di ibu negara, Sabtu ini diteruskan seperti dirancang.
Petang tadi, Adam dipanggil polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi bersama peguamnya Syahredzan Johan, bagi memberikan keterangan berhubung perhimpunan itu.
Ahli PKR itu berkata dia memberikan kerjasama terhadap polis yang bertanyakan soalan berkaitan penganjuran perhimpunan yang bakal berlangsung di hadapan bangunan Sogo, Kuala Lumpur itu.
Katanya, perhimpunan itu bagi mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki meletak jawatan susulan pelbagai isu negatif yang dikaitkan terhadap dirinya.
“Ini bukan soal nak serang seseorang bernama Azam Baki tapi mahu mengangkat kepentingan sebuah institusi yang diharapkan menjaga, mencegah dan membanteras rasuah dalam negara serta korupsi dalam apa jua bentuk,” katanya seperti dipetik Malaysiakini.
Tegas Adam, sebagai sebuah institusi yang mencegah dan membanteras rasuah di negara ini, ketuanya perlu ada integriti.
Sementara itu Syahredzan memberitahu, siasatan dijalankan bawah Kanun Keseksaan 504 iaitu memberi satu komunikasi yang mungkin menyebabkan mudarat awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Beliau percaya ia berkenaan sebaran dan sebagainya dilakukan melalui dalam talian dan Adam telah memberikan kerjasama dengan menjawab soalan namun ia tidak boleh didedahkan.
“Kebanyakan soalan itu adalah soalan yang berkenaan dengan penganjuran demonstrasi yang akan diadakan pada hari Sabtu ini.
Kedua-dua mereka berkata walaupun terdapat siasatan dijalankan, ia tidak sepatutnya menakutkan sesiapa atau menyebabkansesiapa takut untuk datang pasa demonstrasi itu, jika mereka percaya tentang isu yang dibangkitkan dalam demonstrasi tersebut.
Perhimpunan tersebut akan berlangsung di ibu kota pada jam 11 pagi.
“Ini adalah hak rakyat Malaysia untuk meyatakan pandangan dan juga berhimpun,” katanya.
Kredit gambar Raja Ahmad Iskandar Fareez