APMM tahan bot tunda, tongkang dan kru atas pelbagai kesalahan

 
BINTULU – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Bintulu menahan sebuah bot tunda dan tongkang sarat dengan muatan batu  di kedudukan kira-kira 2.5 batu nautika dari muara Sungai Kemena, Bintulu petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda dan tongkang itu ditahan sekitar jam 7.45 malam.
Katanya, semasa melaksanakan Operasi Permai di sekitar perairan Bintulu, APMM telah mengesan sebuah bot tunda beserta tongkang yang sedang leka melakukan kerja-kerja memindahkan muatan ke sebuah tongkang lain di lokasi tersebut sekitar jam lebih kurang 4.35 petang semalam.

“Hasil pemeriksaan dan geledah, mendapati bot tunda disyaki beroperasi dan melakukan aktiviti pemindahan menggunakan dokumen tamat tempoh.”
“Manakala tongkang tersebut disyaki beroperasi dan melakukan aktiviti pemindahan menggunakan “Domestic Shipping License’ dokumen yang telah tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muatan batu lebih kurang 1000 metrik tan juga didapati telah dipindahkan ke atas tongkang semasa pemeriksaan tersebut.
 
Enam kru bot tunda ditahan termasuk nakhoda, berumur dalam lingkungan 20 hingga 56 tahun terdiri dari tiga lelaki  warga tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga India mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap.
 
Manakala dua kru lelaki warga Indonesia yang bekerja di atas tongkang tersebut disyaki melakukan kesalahan melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di dalam pasport, kerana bekerja di tempat yang bukan dibenarkan seperti pada dokumen pasport.
 
Kesemua lapan kru beserta bot tunda dan tongkang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut.
 
Kes akan disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 yang memperuntukan hukuman denda dan penjara jika disabitkan bersalah.
 
Tangkapan ini dibuat berikutan aduan komuniti maritim setempat dan pemantauan secara berterusan di kawasan yang dipercayai ‘hotspot’ bagi bot tunda beserta tongkang melakukan aktiviti memindahkan muatan yang sering menganggu laluan keluar masuk di kawasan berhampiran muara Sungai Kemena.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.
 


 
Next Post Previous Post