Air Terjun Rueb Ugui ragut nyawa
LAWAS: Kegembiraan empat sekawan mandi di Air Terjun Rueb Ugui, Jalan Long Sebangang, Lawas bertukar tragedi selepas seorang daripada mereka ditemui lemas, Jumaat.
Ketua Polis Daerah Lawas DSP Sila Kadong berkata, mangsa, Mohammad Sabri Dumin,20, dari Kampung Batu Dua, Jalan Trusan pergi ke kawasan air terjun tersebut sekitar jam 12 tengah hari untuk mandi-manda.
“Mangsa kemudian pergi ke kawasan yang lebih dalam. Tidak lama selepas itu, mangsa dilihat terkapai-kapai dan timbul tenggelam beberapa kali.”
“Ketiga-tiga rakan cuba untuk menyelamatkan mangsa termasuk menggunakan kayu namun tidak berjaya kerana kesemua mereka tidak tahu berenang,” katanya dalam kenyataan yang dipetik Utusan Borneo hari ini.
Rakan mangsa kemudian mendapatkan pertolongan daripada penduduk berhampiran, namun malangnya semasa sampai badan mangsa sudah terapung di permukaan air.
Sila menambah, orang kampung tersebut membantu membawa mangsa ke tebing sungai.
Pasukan ambulans Hospital Lawas yang tiba di lokasi kejadian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Sementara itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas turut bergegas ke tempat kejadian dan mengangkat mayat mangsa sebelum dibawa ke Hospital Lawas untuk ujian saringan COVID-19.