Air paip warna teh peng

NIAH — Ketika beberapa kawasan di Niah terputus bekalan air, seorang penduduk di Suai mengeluh dengan kualiti air paip yang keruh seperti teh peng.

Berkongsikan sebuah video air seperti teh tarik keluar dari paip di rumahnya, Johnny Andok berkata, ia berlaku pagi tadi.

“Keadaan air paip pagi ni, di kawasan Suai Niah. Sangat bersih,” sindirnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut Johnny, sudah beberapa kali penduduk di situ mengalami masalah air keruh. Katanya, ia mungkin berpunca daripada musim hujan yang melanda kawasan Niah pada masa kini.

Hantaran itu turut dibalas dengan komen sinis penduduk di situ tidak payah membancuh kopi, sebaliknya buka paip dan tambah gula atau susu.

“Nyau baka teh peng,” kata Jessica Mitz Reman.

Sementara itu, halaman Facebook Niah Community terus menjadi platform kepada penduduk tempatan meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap isu air di Niah yang seolah-olah tiada jalan penyelesaian.
Next Post Previous Post