ADUN DAP Sabah melompat keluar

KOTA KINABALU: Parti Tindakan Demokratik (DAP) kehilangan dua wakil rakyat di DUN selepas dua daripadanya mengumumkan keluar parti malam tadi.

Mereka ialah ADUN Sri Tanjong, Justin Wong Yung Bin; ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun.

Turut mengumumkan meninggalkan parti ialah bekas senator, Adrian Lasimbang.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata, tindakan itu antara lain disebabkan kegagalan DAP Sabah melaksanakan perjuangan membela nasib rakyat Sabah.

"Kami memulakan kerjaya politik demi berjuang untuk Sabah, termasuk bagi lebih autonomi, infrastruktur lebih baik, malah paling penting lagi, masyarakat inklusif yang mengatasi bangsa dan agama.

"Malangnya kami tidak mencapainya menerusi DAP Sabah," kata mereka menerusi kenyataan berkenaan seperti dipetik Berita Harian.

Mereka turut menyatakan kekecewaan terhadap kepemimpinan DAP Sabah di bawah Pengerusinya, Datuk Frankie Poon Ming Foon yang didakwa kurang menunjukkan kepercayaan dalam jawatankuasa negeri.

"Parti juga sudah hilang arah selain mengalami perbalahan dalaman dan masalah komunikasi teruk di antara pemimpinnya."

"Justeru, dengan berat hati kami mengumumkan akan meninggalkan DAP berkuat kuasa serta-merta," katanya.

Berikutan tindakan dua ADUN terbabit, DAP Sabah kini hanya mempunyai empat ADUN iaitu Frankie (Tanjong Papat), Phoong Jin Zhe (Luyang), Jannie Lasimbang (Kapayan) dan Tan Lee Fatt (Likas).

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah September 2020, DAP Sabah hanya kalah satu kerusi iaitu di Bingkor daripada tujuh kerusi yang ditandinginya.

DAP Sabah menjadi parti pembangkang kedua yang kehilangan ADUN selepas Parti Warisan Sabah (WARISAN) berikutan tindakan mereka keluar parti selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan parti.
Next Post Previous Post