36 kes Omicron menular di Sarawak


KUCHING: Rakyat Sarawak diminta untuk mengambil langkah pencegahan terutama menjelang sambutan Tahun Baru Cina tidak lama lagi, berikutan 36 kes COVID-19 varian Omicron dikesan menular dalam kalangan komuniti di negeri ini.

Pengarah Institut Kesihatan dan Perubatan Komuniti, Universiti Malaysia Sarawak (IHCM-UNIMAS) Prof Dr David Perera berkata, kes varian Omicron itu dikesan di Bahagian Kuching, Samarahan, Sibu dan Kapit setakat bulan ini.

Beliau menerusi laporan bagi Disember 2021 hingga 11 Januari 2022 kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah hari ini berkata, varian paling mudah menjangkiti itu dikesan itu kebanyakan kes melibatkan penularan dalam komuniti.

"Orang ramai diminta untuk mengambil langkah penuh berhati-hati menjelang sambutan Tahun Baru Cina ini dengan pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP).

"Sebolehnya elak perhimpunan komuniti bagi menghalang penularan jangkitan dalam masyarakat,” katanya dipetik menerusi laporan Utusan Borneo Online hari ini.

Beliau yang juga anggota Kumpulan Penasihat COVID-19 Sarawak (SCoVAG) turut menasihati mereka yang belum mendapat suntikan dos penggalak COVID-19 agar mendapatkannya dengan segera.

Menurutnya, kajian telah menunjukkan dos penggalak perlu untuk meneutralkan penurunan paras antibodi bagi melindungi daripada jangkitan Omicron.

Sementara itu, beliau berkata IHCM, yang menjejaki varian SARS -CoV-2 yang beredar di negeri ini, telah berjaya menyusun 262 sampel dalam tempoh laporan semasanya.

Jelasnnya, varian Delta kekal sebagai varian dominan pada Disember dengan 212 kes dikesan dan enam kes lagi dikesan dalam tempoh Januari ini.

Bagaimanapun, kata beliau pada penghujung Disember, pihaknya telah mengesan lapan kes varian Omicron yang mana tujuh adalah kes import dan satu kes tanpa sejarah perjalanan baru-baru ini.

“Kemudian kita mempunyai 36 kes Omricon lagi seperti yang dinyatakan tadi,” ujarnya.
Next Post Previous Post