3 kantoi memandu palau

SARIKEI: Polis menahan tiga lelaki selepas mereka didapati memandu di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan semasa Ops Mabuk di Jalan Pasi dan Repok di sini malam Khamis. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu menerusi laporan Utusan Borneo Online dipetik berkata, ketiga-tiga yang diberkas adalah antara 41 individu yang diperiksa sepanjang operasi tersebut.
"Operasi ini diketuai Timbalan Ketua JSPT Sarawak DSP Mathew Manggie dijalankan dari jam 9 malam Khamis hingga 2.30 pagi ini yang mana sebanyak 34 kenderaan diperiksa dan 25 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

"Seramai 41 orang diperiksa dan tiga ditangkap kerana didapati positif memandu di bawah pengaruh alkohol (melebihi had yang ditetapkan)," katanya.
Alexson menjelaskan, tiga individu yang ditahan didapati gagal melepasi ujian pernafasan menggunakan mesin Evidential Breath Analyzer (EBA) untuk pengesahan kandungan alkohol dalam badan.

Tegasnya, ketiga-tiga pemandu terbabit berusia 38, 45 serta 48 tahun dan kesemua merupakan warga tempatan.
"Operasi seperti ini akan diteruskan dalam usaha kita memastikan tiada pemandu memandu dibawah pengaruh alkohol," ujarnya.


Next Post Previous Post