10 hari menyorok, akhirnya diberkas di Limbang

KOTA KINABALU - Sepandai pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga.

Cubaan seorang lelaki untuk melarikan diri dari siasatan polis berhubung kes bunuh di sebuah pusat hiburan di Penampang, Sabah tidak berhasil apabila beliau ditahan polis di Limbang.

Ketua Polis Penampang, Mohd Haris Ibrahim, berkata suspek berusia 34 tahun berjaya dicekup di sebuah hotel di Limbang pada jam 11 malam 13 Jan, 10 hari selepas kejadian.


Beliau berkata, penahanan lelaki yang dikenalpasti sebagai Kaw Yung Chee itu adalah hasil kerjasama kontijen polis Penampang dan Limbang.

“Suspek disyaki terlibat dengan kes tikam seorang lelaki berusia 29 tahun di kelab malam itu pada 3 pagi, 4 Jan.”

“Suspek akan dibawa pulang untuk membantu siasatan bagi tuduhan bunuh di bawah Kanun Keseksaan 302,” katanya dipetik The Borneo Post hari ini.

Dalam kejadian pada 4 Jan lalu, Jusmani Duragan,29 cedera parah selepas ditikam menggunakan senjata tajam.

Mangsa meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Queen Elizabeth.

Difahamkan pergaduhan itu berpunca daripada salah faham.
Next Post Previous Post