Projek Hidroelektrik Baleh berjalan lancar -- Sarawak Energy



KUCHING, 12 Julai (Bernama) --  Projek Hidroelektrik Baleh (HEP) di daerah Kapit yang berkapasiti 1,285 MW, berjalan lancar bagi mencatat pencapaian penting pembinaannya meskipun berdepan cabaran mengendalikan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta memastikan pasukan di tapak terbabit bebas jangkitan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata salah satu pencapaian itu membabitkan penyiapan terowong lencongan menjelang akhir Ogos ini.

“Sejajar kedudukannya sebagai projek hidroelektrik terbesar Sarawak Energy setakat ini, HEP Baleh merupakan infrastruktur utama negeri dan projek pembangunan hidro perindustrian yang menjadi sebahagian daripada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE). Ini penting bagi memastikan kapasiti tenaga mencukupi bagi pertumbuhan dan pembangunan Sarawak di masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sharbini berkata projek itu turut menyokong aspirasi kerajaan negeri untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030.

"Usaha menyiapkan terowong lencongan itu penting bagi memenuhi penyiapan keseluruhan projek HEP Baleh menjelang 2026," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif Sarawak Energy Pramod Kumar Karunakaran berkata aktiviti pengalihan sungai itu dijadualkan siap menjelang Oktober tahun ini dengan kemajuan keseluruhannya mencecah 66 peratus.

Menurutnya, pembinaan di hulu serta hilir empangan bagi membolehkan lencongan sungai itu akan dimulakan pada September ini dan disusuli dengan aktiviti utama membangunkan empangan tersebut.

Projek itu meliputi enam pakej kerja iaitu pembangunan jeti, jalan raya dan jambatan, stor simpanan bahan letupan  bagi memecahkan batuan, perkampungan operator yang menempatkan kakitangan loji janakuasa, terowong lencongan bagi mengalihkan sungai untuk pembinaan empangan utama, kerja-kerja utama sivil dan kerja-kerja elektrikal dan mekanikal utama.

-- BERNAMA
Next Post Previous Post