Pembukaan sekolah dibincang esok

KUCHING: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, isu pembukaan semula sesi persekolahan akan dibincangkan esok.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, pihaknya masih memerlukan maklum balas daripada pihak sekolah berhubung pembukaan sesi persekolahan ekoran kes positif COVID-19 di Sarawak.

"Semua kes sebelum ini berlaku di Kuching. Dan satu kes import berlaku di Bintulu hari ini," katanya pada sidang media hari ini.

Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin sebelum ini mengumumkan sesi persekolahan untuk murid Tahun Lima dan Tahun Enam serta pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan Enam Semester Satu akan bermula pada 15 Julai ini.

Manakala pembukaan semula sekolah bagi murid tahun satu hingga empat pula adalah pada minggu berikutnya iaitu 22 Julai.

Uggah berkata, pihaknya akan mengumumkan langkah tambahan untuk persediaan gelombang kedua dan memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

Dalam pada itu katanya, Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menyeru kontak kepada kes positif Covid-18 di Kuching untuk hadir menjalani saringan.

"Mereka boleh hadir ke fasiliti kesihatan bermula dari jam 8 pagi hingga 1.00 petang.

"Antara fasiliti tersebut termasuk Klinik Kesihatan Jalan Masjid, Klinik Kesihatan Tanah Putih, Klinik Kesihatan Kota Sentosa dan Klinik Kesihatan Batu Kawa pada setiap hari Isnin hingga Jumaat.

"Selain itu, mereka boleh datang untuk menjalani saringan di Klinik Kesihatan Petra Jaya pada setiap hari Isnin hingga Ahad," katanya.

Orang ramai boleh menghubungi talian 082-443991, 082–513340, 082-649813, 082–536512 dan 082-646634.
Next Post Previous Post