Pan Borneo Sarawak catat 52 peratus, setakat Jun


KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Pan Borneo Sarawak, masing-masing mencatatkan kemajuan terkini sebanyak 32 dan 52 peratus, setakat Jun lepas. 

Menurut KKR, projek tersebut kini sedang dilaksanakan secara konvensional, dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak, susulan daripada penamatan Perjanjian Rakan Pelaksana Projek (PDPA).

“Kerajaan Pakatan Nasional akan tetap menghormati keputusan kerajaan terdahulu untuk mengubah kaedah pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak, dan berikutan itu usaha-usaha penambahbaikan berterusan ke atas kaedah pelaksanaan yang telah diputuskan sedang dilaksanakan, bagi mengatasi kekangan-kekangan yang telah dikenal pasti.

“Langkah-langkah tersebut adalah perlu bagi memastikan kelancaran dan kelangsungan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah dan Sarawak, sebagai pemangkin pembangunan sektor sosio-ekonomi, perindustrian serta pelaburan, di sepanjang jajaran projek tersebut,” menurut KKR.

KKR memaklumkan perkara itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan dalam laman web rasmi Parlimen hari ini, bagi menjawab soalan Baru Bian (PSB-Selangau) mengenai status pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak, dan adakah kerajaan akan meneruskan kaedah pembinaan seperti yang dipersetujui oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini. 
 
Bagi menjawab soalan Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan), mengenai pekerja yang terjejas akibat penamatan PDPA Pan Borneo Sarawak, KKR memaklumkan ia melibatkan pemberhentian kontrak perkhidmatan 500 kakitangan, daripada Syarikat Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd.

Syarikat itu merupakan Rakan Pelaksana Projek yang ditamatkan pada 20 Feb 2020 susulan penamatan PDPA dan kini kementerian dengan kerjasama JKR Sarawak, telah mengambil alih pelaksanaan Fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, secara konvensional.

“Bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek, penambahbaikan berterusan sedang dilaksanakan, khususnya peningkatan kapasiti dan kepakaran teknikal sedia ada.

“Usaha-usaha penambahbaikan ini akan turut mengambil kira model pelaksanaan alternatif, yang akan memanfaatkan tenaga kerja yang berpengalaman di dalam pelaksanaan Fasa 1 Projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak, sebelum ini.

Menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar), mengenai jumlah pakej kerja-kerja pembinaan keseluruhan Pan Borneo (Sabah) yang belum dilaksanakan sewaktu peralihan kerajaan sejak 1 Mac lepas, KKR memaklumkan pelaksanaan Fasa 1 projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, dengan anggaran jarak keseluruhan 706 km dibahagikan kepada 35 pakej kerja.
 
Sehingga kini, 12 pakej kerja telah dibuat pelantikan kontraktor bagi tujuan kerja-kerja pembinaan. Walau bagaimanapun, satu kontraktor pakej kerja, iaitu melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna telah ditamatkan kontrak, disebabkan prestasi kontraktor yang tidak memuaskan.

Sementara itu, sebanyak 41 kontrak telah dianugerahkan kepada kontraktor dan perunding dalam pelbagai bidang bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah, yang terdiri daripada syarikat-syarikat yang berpengalaman di Sabah.

Manakala, empat pakej kerja termasuk pakej kerja melibatkan laluan dari Tawau ke Semporna telah ditamatkan kontrak, sedang ditender yang dijangka akan dimuktamadkan pada tahun ini, manakala pelaksanaan bagi baki 20 pakej kerja, adalah tertakluk kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan untuk  Pelan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). 
-- BERNAMA
Next Post Previous Post