'Superman' dipenjara sehari, denda RM5,500


KUALA LUMPUR, 16 Julai (Bernama) -- Seorang penganggur dipenjara sehari dan denda RM5,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan beraksi seperti ‘Superman’ di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) di sini bulan lepas.

Majistret Puteri Nursheila Rahim memerintahkan Noor Irfan Qayyum Noor Affandy, 22, menjalani hukuman itu bermula hari ini selain lesen memandu tertuduh digantung selama setahun dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara lima bulan.

Dia dituduh menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di lebuh raya itu pada 12.55 tengah malam, 1 Jun lepas.

Pertuduhan itu di bawah Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk sekurang-kurangnya dua tahun.
 
Terdahulu, Noor Irfan Qayyum yang tidak diwakili peguam berkata dia menyesal dan memohon hukuman ringan, bagaimanapun pegawai pendakwa Inspektor Abdullah Khazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan semasa Op Samseng yang dijalankan polis di lebuh raya itu.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, seorang lagi penganggur Mohamad Azuan Amando, 19, diarahkan menjalani perintah khidmat masyarakat selama 180 jam kerana menunggang motosikal secara melulu dengan melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Raja Laut di sini pada 1.51 pagi, 26 Ogos 2019.

Tertuduh juga diarahkan membayar RM3,000 sebagai cagaran dan perlu menyelesaikan khidmat masyarakat itu selama 12 bulan, selain dilarang memohon lesen memandu baharu selama dua tahun.

Dia didakwa di bawah Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-- BERNAMA

Kedit Gambar Media Sosial
Next Post Previous Post