ATM bersama PGA pasang kawat duri di sempadan elak bolos


PASIR MAS, 13 Julai (Bernama)-- Sebanyak 13 pangkalan haram yang aktif di sepanjang Sungai Golok dekat sempadan Malaysia-Thailand di Pasir Mas dan Tumpat telah dipasang kawat duri bagi mengekang pencerobohan pendatang asing dan pelbagai aktiviti jenayah rentas sempadan.

Pemasangan kawat duri atau ‘concertina wire’ itu dilaksana hasil kerjasama antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang kini dikawal oleh Batalion Ke-7 PGA Kuantan.

Panglima 8 Briged, Brig Jen Zamsari Abu Hasan berkata kawat duri yang setiap satunya 500 meter panjang kini sudah dipasang di tiga bahagian Op Benteng Covid mulai dari Pengkalan Kubor dan Kuala Jambu di Tumpat sehingga Jeram Perdah, Pasir Mas.

Beliau berkata pelaksanaan pemasangan kawat duri itu membuktikan komitmen tinggi ATM dan PGA melalui kerjasama Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF) bagi memastikan rantaian COVID-19 dapat diputuskan sepenuhnya terutama melalui kemasukan pendatang.

Pada masa yang sama, ia juga sebagai membanteras sebarang percubaan daripada pelbagai pihak untuk aktif dalam kegiatan jenayah rentas sempadan.

"Ini juga sebagai peringatan agar semua pihak mematuhi arahan ditetapkan atau mereka bakal berdepan tindakan tegas.

“Sepanjang Op Benteng yang dijalankan oleh semua agensi yang terlibat, sebanyak 158 kes direkodkan termasuk penahanan 59 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas pelbagai barangan bernilai RM4.4 juta," katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pemasangan kawat duri di Pangkalan Haram Pok Nik dekat Jeram Perdah, Rantau Panjang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Pemerintah Batalion Ke-7 (PGA7) Supt Azhari Nusi.

Sementara itu, Azhari berkata sebelum ini PGA7 sudah melakukan penugasan Op Benteng Covid dengan membuat rondaan secara ronda jalan kaki, rondaan berkereta, ronda motosikal, sekat pintas dan sekatan jalan raya.

Beliau berkata dengan pemasangan kawat duri ini kawalan di pangkalan haram yang dianggap ‘hotspot’ akan menjadi lebih ketat.

"Ini adalah satu tanda amaran kepada semua pihak supaya tidak melintasi sempadan sewenang-wenangnya dan tindakan tegas akan diambil kepada sesiapa yang ingkar arahan," katanya.

-- BERNAMA
Next Post