Abdul Azeez mohon maaf isu 'gelap'



KUALA LUMPUR, 14 Julai (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu Datuk Azhar Azizan Harun membuka persidangan Dewan Rakyat hari ini dengan mengarahkan Ahli Parlimen Baling Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memohon maaf susulan kenyataan beliau mengenai isu  'gelap' dan 'bedak' semalam.

Kejadian itu berlaku ketika Abdul Azeez mengungkapkan ayat ‘gelap tak nampak’ ketika Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) bangun mencelah mempersoalkan mengenai ketiadaan wanita sebagai Ahli Jawatankuasa Pemilih yang dicadangkan dalam usul berkenaan semalam. 

“Saya telah meneliti hansard tersebut dan mengambil keputusan bahawa perkataan tersebut adalah offensive (bersifat menghina) dan saya ingin meminta Yang Berhormat Baling memohon maaf dan menarik balik perkataan tersebut," katanya.

Akur dengan arahan Yang Dipertua, Abdul Azeez bangun lantas membuat permohonan maaf dan menarik balik kenyataan itu namun menjelaskan bahawa beliau sama sekali tidak berniat memanggil sesiapa ‘gelap’.

“Dua tahun saya duduk di situ, sememangnya kawasan itu gelap dan kami selalu tidak dapat perhatian speaker.

“Saya kata “gelap tak nampak” maksud saya kawasan itu gelap. 

Bagi saya penting rakyat tahu bahawa saya tidak sama sekali berniat memanggil sesiapa gelap kerana diri saya sendiri Allah SWT takdirkan gelap jadi tak ada sebab saya nak cakap begitu," katanya. 
-- BERNAMA
Next Post Previous Post